Tuesday, March 18, 2008

KELAS SOSIAL

Mat rempit seringkali menjadi topik perbualan hangat dimedia massa. Ini kerana, mereka dilabel sebagai sekumpulan anak muda yang terlibat dengan pelbagai jenayah seperti penagihan dadah, melakukan seks bebas, mengganggu ketenteraman awam dan pelbagai lagi.
Saya melihat isu mat rempit ini menjadi sensasi disebabkan mereka ini rata-ratanya datang dari anak-anak golongan pertengahan dan kelas bawahan didalam struktur masyarakat. Oleh kerana akhbar mensensasikan cerita-cerita mereka menyebabkan masyarakat juga berbicara mengenainya.
Cuba kita lihat satu lagi kelompok yang rata-ratanya datang daripada anak-anak golongan atasan, perbuatan mereka hampir sama cuma kaedahnya sahaja yang berbeda. Mereka juga berkumpul seperti mat rempit, malah lebih hebat lagi. Mereka disediakan satu tempat yang khas dan ekslusif untuk berkumpul iaitu Disko. Mereka juga mengambil dadah berbahaya seperti ectasy. Mereka juga melakukan seks bebas cuma mereka ini tidak membuang anak merata-rata kerana mampu menggugurkannya di klinik swasta bagi menutup aib. Mereka juga berkelakuan tidak sopan di jalan raya terutama ketika mabuk.
Tiada bezanya mereka ini berbanding mat rempit, yang bezanya hanya kelas sosial mereka. Pernah satu ketika serbuan dilakukan keatas sebuah disko di ibu negara dan telah menangkap seorang anak 'orang atasan' yang berpakain tidak senonoh dan mabuk. Kes terbabit tidak menjadi isu hangat, malah perbuatan pihak berkuasa yang melakukan serbuan itu pula yang dikecam. Cuba kalau perkara ini terjadi kepada mat rempit, mungkin ianya menjadi isu yang berminggu-minggu baru habis dibicarakan di dada akhbar.
Saya rasa kedua-duanya salah, saya tidak menyokong mana-mana pihak dan kedua-duanya harus diberikan layanan yang sama oleh masyarakat. Janganlah menghukum seseorang dengan melihat kelas sosialnya, tetapi hukumlah dengan melihat perbuatan dan kesalahan yang dilakukan.
Baru-baru ini saya berpeluang menemui Dato Jins Shamsudin, hero filem yang saya minati "Bukit Kepong". Suatu ketika dahulu seorang sahabat pernah dimarahi oleh saya gara-gara filem ini. Terkenang saya pada peristiwa sahabat saya ini yang mengamuk setelah dimarahi...hehehe(habis lingkup harta kolej, satu kolej 13 bergegar). Dato Jins menceritakan kepada saya bahawa Bukit Kepong adalah sebuah filem yang mempunyai semua elemen yang baik dan patriotis.
Penghasilan filem Bukit Kepong telah menelan belanja sebanyak R.M 1.3 juta, pada ketika itu rata-rata penghasilan filem hanya menelan belanja sebanyak R.M 300 ribu. Filem ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, ianya melalui proses penyelidikan dan Dato Jins sendiri terlibat secara langsung didalam pembikinan filem ini. Filem Bukit Kepong juga pernah diharamkan kerana ketika itu negara mengalami masalah perpaduan kaum, 'kebetulan' didalam Parti Komunis Malaya ramai yang berbangsa Cina.
Ketika tayangan perdana filem ini dibuat, ketiga-tiga mangsa kekejaman komunis yang masih hidup didalam kejadian Bukit Kepong itu telah bertemu Dato Jins dan berkata "filem ini 98 peratus tepat". "Mana hilang lagi 2 peratus?" Dato Jins bertanya. "Sewaktu malam kejadian kami diserang kebanyakan daripada kami memakai kain, ada yang hanya memakai seluar dalam dan bertelanjang" . kata mereka.

Petikan dialog dari filem Bukit Kepong.

"Kami orang-orang polis tidak akan menyerah diri. Biar kami mati di sini. Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami" - Sarjan Jamil







Satu peringatan telah diberikan kepada kita(anak muda) oleh Dato Jins Shamsudin:
"Dalam manusia ada syaitan
Dalam syaitan tiada manusia".


MASYHADAT MERGASTUA (Manthiq al-Thayr)

MASYHADAT MERGASTUA (Manthiq al-Thayr)

By Syeikh Fariduddin Attar

(terdiri daripada 4,600 bait syair masnawi - iaitu sastera

Parsi dari dua susunan kalimah ayat setiap bait)


Pada suatu hari bermasyhadatlah sekelian burung-burung di rimba membincangkan nasib dan keadaan mereka. Mereka merasa kecewa melihatkan kekacauan di masyarakat mergastua yang tidak mempunyai pemimpin. Walhal tiada suatu kaum pun yang di bawah langit yang teratur masyarakatnya kalau tidak mempunyai raja.

Maka dalam satu perhimpunan bersama rakyat, warga mergastua bermusyawarah tentang melantik ketua mereka. Akhirnya sekelian hadirin bersetuju memilih Sang Belatuk untuk menjadi imam mereka. Menurut sang-sang burung, Sang Belatuk dipilih kerana beliau mempunyai pengalaman yang paling luas di kalangan mereka. Ini kerana Sang Belatuk pernah berkhidmat dibawah kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sebagai peninjau kerajaan Puteri Balqis; dan juga pernah bersama Nabi Nuh a.s. semasa ditugaskan untuk mencari daratan (kampong baru) selepas peristiwa banjir besar itu.

Pada mulanya Sang Belatuk agak keberatan untuk menerima perlantikan tersebut, maka bangunlah akan beliau lalu berucap; Aku telah mengalami pertukaran hari dan masa dan aku telah mengenal kebiasaan manusia. Aku telah berusaha sekuat tenaga untuk mencari kebenaran. Aku pernah berteman dengan Nabi Sulaiman a.s. Lembah yang rendah telah kuturuni, yang tinggi telah kudaki, yang hampir telah kudatangi dan yang jauh telah kukunjungi.

Dalam perjalanan sejauh itu, aku telah mengetahui bahawasanya kita pada hakikatnya ada mempunyai raja, tetapi aku tidak berupaya pergi sendirian mengunjungi baginda. Kalau sekiranya kita semua berkerjasama tolong-menolong, akan sampailah kita semua ke mahligai baginda. Nama raja kita ialah SIMURAQ. Tempat bersemayam baginda adalah di sebalik bukit bernama Qaf. Tempat itu dekat dengan kita tetapi kita yang jauh daripadanya.

Dia terlindung di dalam pagar larangan kebesarannya, dan dikelilingi oleh beratus-ratus dinding. Tiada sanggup untuk mulut menerangkan sifatnya

Pada mulanya Maharaja SIMURAQ itu terbang pada malam dinihari, dalam kegelapan lautan China. Akan jatuhlah sehelai bulu sayapnya maka tercenganglah dan gegap gempitalah seluruh isi alam melihatkan keindahan warna bulu itu. Tidakkah saudara-saudara mendengar suatu hadis; "Tuntutlah olehmu ilmu sekalipun ke negeri China". Kalau tidaklah menjelma sehelai bulu itu ke alam ini, tidaklah semua burung akan ada di dunia ini.

Mendengarkan akan panjang lebar isi kandung ucaptama oleh Sang Belatuk itu, maka semua burung pun terbitlah suatu perasaan rindu hendak menghadap Maharaja SIMURAQ.

Mesyuarat diteruskan dengan Sang Belatuk menerangkan secara panjang lebar betapa peri sulitnya dan bahayanya perjalanan menuju ke mahligai itu. Mendengar akan betapa sangat sulit dan banyak rintangannya XPDC itu, banyaklah di antara burung-burung itu merasa lemah semangat dan tidak sanggup untuk pergi.

B erkata Sang Kenari; "Aku adalah Imamul Asyikin, imamnya seluruh orang yang rindu dendam. Segala hati ingin mendengar nyanyianku. Maka bagaimanakah aku akan sanggup berpisah dengan kembang-kembang mekarku?".

Berkata Sang Kakaktua; "Ambillah ikhtibar daripada nasibku. Seluruh insan terpedaya oleh warna bulu SIMURAQ itu, lalu badan diriku telah mereka kurung. Maka penuhlah hidupku dengan kerinduan, rawan dan kesedihan hati. Pada hal terbang dibawah kipasan sayap SIMURAQ itu saja pun, aku tidak sanggup".

Berkata Sang Merak; "Dulu aku hidup bersama Nabi Adam a.s. di dalam syurga, tetapi akhirnya aku pun sama terusir dari sana. Keinginan aku ialah untuk pulang ke asal tempat diamku itu. Kerana itu tidaklah ada keinginan aku hendak mengembara mencari Maharaja SIMURAQ".

Berkata pula Sang Itik; Aku telah biasa hidup di dalam kesucian dan biasa berenang di dalam air. Tiada lain yang aku rindukan lagi. Aku tidak sanggup keluar dari dalam air dan tidak biasa hidup di tempat yang kering".

Berkata pula Sang Rajawali; Aku sudah biasa hidup di pergunungan. Di sanalah duduk-ku. Bagaimana aku akan sanggup meninggalkan sejauh itu".

Berkata pula Sang Jelatek; "Aku hanya seekor burung yang kecil dan lemah. Bagaimana akan sanggup makhluk sekecil aku mengembara sejauh itu?".

Akhir sekali berkata lah pula Sang Helang; "Saudara-saudara sudaah tahu bagaimana kedudukan aku disisi raja-raja. Maka tidaklah sanggup aku meninggalkan tempat semulia itu".

Setelah mendengar segala luahan rasa mereka itu maka berkatalah pula Sang Belatuk; "Aku tidak akan lalai menyampaikan nasihat aku kepada saudara semua. Tujuan aku adalah suci. Apakah sebabnya saudaraku semua mencari dalih kerana kebiasaan hidup!? Dan saudara tinggalkan cita-cita yang suci murni kerana diikat kesenangan? Azam yang kuat dan hati yang teguh dan sabar akan memudahkan segala kesulitan dan mendekatkan segala yang jauh'.

Kemudian bertanyalah seekor dari burung-burung itu; "Dengan cara apakah dan jalan manakah akan kita sampai ke tempat yang jauh dan sulit itu? Dengan alat perkakas apakah kita akan sampai ke sana menghadap maharaja yang maha agong itu?".

Maka tercetuslah berbagai lagi pertanyaan.

Berkata Sang Belatuk; "Apakah ertinya segala pertanyaan ini? Apakah ertinya kelemahan semangat ini? Mengapa mundur melangkah untuk mengatasi kesulitan? Bersiap-siaplah dengan alat bekalan iaitu hikmah yang tinggi, azam yang kuat dan tabah hati.

...sesungguhnya kecintaan itu akan mengubah yang pahit

menjadi manis, tanah menjadi emas, yang keruh menjadi

jernih, yang sakit menjadi sembuh, penjara menjadi taman,

kekasaran menjadi kasih sayang,

kecintaanlah yang melunakkan besi, mencairkan batu,

membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan kepadanya...

(Jalaluddin Rumi)

Adapun perhubungan di antara segala burung dengan Maharaja SIMURAQ sudahlah nyata dan jelas seperti matahari di belakang awan, telah jatuh ke bumi beribu-ribu cahaya dari celah-celah awan itu. Kamu semuanya, wahai saudara-saudaraku adalah cahaya dari Maharaja SIMURAQ itu. Kamulah! Jika kerinduan itu benar-benar timbul dari hati yang tulus, akan mudahlah bagi orang-orang yang asyik melalui jalan bagaiman sulit sekalipun. Segala pagar akan dapat dilewati kerana ingin bertemu dengan kekasihnya".

Setelah mengemukakan beberapa perbandingan dan contoh dan juga kisah seorang alim bernama Syeikh Syanaan. Oleh kerana asyiknya, Syeikh Syanaan telah terkeluar dari agamanya, walaupun dinasihatkan oleh murid-muridnya tetapi tidak dipedulikan. Tetapi kemudiannya dia pun insaf dan bertaubat serta diberi keampunan oleh tuhan kerana punca kesesatan adalah kerana keasyikannya itu.

Bercerita panjanglah Sang Belatuk tentang hal itu. Sehingga timbul kembali perasaan kerinduan sekelian mergastua itu hendak berjumpa dengan Maharaja SIMURAQ.

Maka akhirnya putuslah permuafakatan untuk mereka semuanya meneruskan XPDC mencari Maharaja SIMURAQ. Satu kafilah mesti disusun dan seorang ketua mesti dipilih. Sang Belatuk menjadi pemimpin pilihan dan diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran. Majulah Sang Belatuk ke hadapan dan terbanglah mereka beramai-ramai untuk menuju tujuan.

Jangan ada duka jangan ada resah

Jangan ada keluh kesah

Dalam perjalanan jiwa yang mengembara

Jalanilah dengan penuh keluruhan

Akan rasa satu rasa kesyahduan

(Ramli Sarip-Rindu Damai Dunia)

Lama penerbangan yang jauh itu, tiada juga kelihatan tanah yang dituju. Maka bertanyalah seekor burung; "Mengapa perjalanan ini menjadi sepi, semakin lengang dan menakutkan, wahai peminpin kami?".

Sang Belatuk, raja mergastua menjawab; Memang banyak manusia tidak berani melalui jalan ini kerana takut. Tidak kah saudara-saudara pernah mendengar kisah Syeikh Abu Yazid yang keluar ke tengah padang di malam hari, di waktu bulan di kala semua orang sedang nyenyak tidur? Maka tertariklah dia olah keindahan malam yang sunyi itu. Merasa hairanlah beliau, mengapa tiada orang yang berani merempuh jalan ini, sehingga sepi sahaja? Pada halnya, ianya sebegini indah?".

Berapa banyak bintang di langit kau kaji..engkau hafali

Tak akan sama bintang yang satu ini..

Yang engkau kenali di dalam hati

Terang walaupun dia tersembunyi

Cemburukan matahari cahaya berseri-seri

(M.Nasir - Sahabat Gua)

Kemudian terdengarlah beliau suatu suara; Maharaja tidak memberi izin kepada semua orang untuk melalui jalan ini. Kebesaran kami kadang-kadang membuat hanya sedikit orang yang mengharapkan kurnia kami dari pintu kami."

Pengembaraan itu disambung semula dan kemudian kelihatanlah suatu jalan tetapi tujuannya tidak kelihatan. Terasalah sakit akibat penderitaan yang tiada ubatnya. Di waktu itu berhembuslah angin 'kekayaan/kebesaran' dan merendahlah langit ke bumi. Kelihatanlah padang pasir Sahara yang tandus. Padang itu tidak sanggup menerima kedatangan 'Merah Langit', bagaimanakah akan sanggup menerima burung bumi?

Maka berkatalah seekor burung; "Wahai Sang Belatuk, raja kami, engkau telah membawa kami terbang tinggi dan sememangnya engkau telah biasa terbang jauh. Tetapi sekarang dan akhir ini, banyaklah yang terasa di hati kami. Berhentilah sebentar dan naik ke mimbar, berilah fatwa untuk menghilangkan beberapa keraguan yang telah timbul sepanjang perjalanan yang sulit ini."

Permintaan itu dipersetujui oleh Sang Belatuk dan mereka berhenti sebentar. Tetapi sebelum dia memberikan nasihat, Sang Kenari telah terlebih dahulu naik ke mimbar. Beliau menyanyi dengan merdunya. Mendengarkan suara merdu itu, hilanglah segala kepayahan dan keraguan tadi. Seluruh burung pun bernyanyi mengikutkan rentak nyanyian Sang Kenari.

Kita menari bukan sebarang tarian

Asalnya dari tanah orang-orang pilihan

Bila terdengar masnawi ciptaan maulan

Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Bagai musafir bertemu janji

Ini Darwis sudah gila berahi

(M.Nasir - Bila Rumi Menari)

Selepas itu, perjalanan mereka pun disambung semula lagi.

Di pertengahan perjalanan, bertanyalah seekor burung; "Wahai tuan Belatuk, imam kamil, aku hairan mengapakah tuan lebih utama daripada kami? Mengapa pula martabat kita berbeza-beza?"

Sang Belatuk pun menjawab; "Keutamaan aku ini adalah anugerah kurniaan daripada maharaja kita sendiri. Inilah kekuasaan besar anugerah baginda yang diberikan kerana limpah kurnia pandangan baginda semata-mata. Kelebihan ini tidak dicapai semata-mata kerana taat. Walhal Si Iblis laknatullah itu dahulunya pun seorang yang taat. Sungguhpun begitu, bukanlah aku memandang soal taat sebagai satu perkara yang kecil.

Tetapi janganlah itu yang dipandang penting dan jangan meminta upah. Kerjakanlah segala perintah dengan patuh dan jangan mengharapkan apa-apa balasan. Harapan kepada balasan itulah yang menjatuhkan harga kepatuhan. Itulah sebabnya maka Nabi Sulaiman as telah menjatuhkan pandangannya ke atas diriku."

Banyaklah lagi persoalan yang dibangkitkan. Kesemua soalan dijawap olah Sang Belatuk dengan bijaksana dan saksama. Soalan yang seterusnya begini bunyinya; " Apakah hadiah yang layak kita persembahkan kepada maharaja yang akan kita kunjungi itu?"

Sang Belatuk menjawab; "Di hadapan kita terbentang tujuh lurah. Tetapi lebar setiap lurah, tidak kita ketahui. Sebab belum ada orang yang kembali dari sana yang dapat mengkhabarkan berapa luasnya. Tujuh lurah itu ialah Lurah Keinginan (thalab), Lurah Kerinduan (Isyq), Lurah Makrifat, Lurah Kepuasan (Istighna), Lurah Tauhid, Lurah Kagum (Hairan), Lurah Fakir dan Lurah Fana.

Setiap lurah itu diterangkan oleh Sang Belatuk sifatnya dan segala macam isinya. Sampai semasa menerangkan lurah yang ketujuh iaitu Lurah Fana, dia berkata; "Wahai saudaraku semua. Inilah lurah yang dahsyat, kelu lidah kerana tidak dapat menerangkannya. Tuli telinga dan habislah daya. Ribuan bayangan hilang semuanya kerana cahaya matahari. Apabila ombak lautan telah bergelora, bagaimana lagi akan tinggal sebarang garis dipermukaan air? Tetapi sesiapa yang hilang dirinya di dalam lurah ini, sampailah dia ke dalam ketenteraman yang abadi."

Lalu dihikayatkan pula satu kisah;

"Pada suatu malam berkumpullah Sang Rama-Rama di dalam keadaan gelap gelita. Mereka berhimpun mengelilingi sebatang lilin yang sedang menyala. Masing-masing dari mereka ingin mendapat cahaya lilin itu. Maka dipilihlah seekor rama-rama supaya terbang menuju ke lilin yang terbakar terlebih dahulu untuk meninjau dan mengetahui sifatnya. Si rama-rama tadi pun terbang pulang dan mengkhabarkan kepada teman-temannya. Maka berkatalah seekor dari rama-rama yang lebih berpengalaman; "Kalau begitu engkau belum kenal lagi kepada lilin."

Lalu diutuskan pula seekor lagi untuk kerja meninjau itu. Rama-rama ke-2 itu pun pergi menghampiri lilin itu dan didekatinya sampai terasa olehnya panas api. Dia pun pulang mengkhabarkan penglihatan dan perasaannya. Sang Rama-rama yang lebih berpengalaman tadi pun berkata; "Yang engkau ceritakan itu tidaklah lebih dari apa yang diceritakan oleh temanmu tadi."

Maka terbanglah seekor lagi, rama-rama. Si rama-rama ke-3 ini pula terbang menari-nari di dalam kegembiraan dan kerinduan. Dia pergi ke lilin itu, dilihatnya, dihampirinya, lalu dihempaskan dirinya kepada lilin yang terbakar maka hangus terbakarlah seluruh badannya. Dalam keadaan terbakar itulah, dia pulang kepada teman-teman yang mengutuskannya itu. Ketika itu berkatalah Sang Rama-Rama yang tua tadi; "Hanya engkau saja yang tahu apa ertinya lilin."

Kerana tidaklah kita mengenal orang yang kita cintai itu melainkan dengan mengfanakan diri kepadanya.

Mendengar kisah Sang Belatuk itu, maka seluruh burung-burung pun merasa takut. Semuanya merasakan tidak mungkin akan sampai dalam perjalanan sejauh ini. Maka ada burung-burung yang mati dipertengahan perjalanan kerana rasa putus asa. Yang tinggal, meneruskan juga perjalanan dengan menempuh pelbagai rintangan dan merbahaya yang mengakibatkan banyak yang gugur mati. Mati kehausan di puncak bukit atau mati kerana kepayahan. Setengahnya pula, tercengang-cengang melihat ganjilnya jalan yang dilalui, lalu berhenti dan tidak sanggup meneruskan perjalanan lagi. Setelah bertemu olehnya apa yang merintang di hatinya, maka timbullah perasaan malas untuk meneruskan perjalanan. Pada mergastua yang lain pula, lain pula bentuk kesulitan dan halangannya.

Dari beribu-ribu banyaknya anggota kafilah itu, sebahagian besarnya telah binasa. Hanya tiga puluh ekor sahaja yang dapat meneruskan perjalanan tersebut (Tiga puluh dalam bahasa Parsi bermaksud - SIMURAQ)

Beribu yang pergi hanya tiga puluh ekor yang sampai. Sesudah menempuh berbagai gelora dan kesulitan, hampir-hampir binasa kerana sulitnya.


Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Lihat dunia dari mata burung
Atau dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

"Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari"

(M.Nasir - Tanya Sama Itu Hud-hud)

Nota

Hud-hud juga adalah nama lain bagi Sang Belatuk

Apakah yang mereka dapat setelah sampai pada tempat yang dituju?

Mereka mendapati perkara-perkara yang tidak dapat diceritakan dengan mulut, penuh kehairanan dan termanggu akal fikiran melihatkannya.

Memancarlah kilat kebesaran, terbakarlah ratusan alam, beribu-ribu matahari dan bintang-bintang dalam sekelip mata.

Dalam keadaan setengah kebingungan, mereka berkata; "Wahai payahnya perjalanan kita ini. Di sinilah kita melihat ratusan falak hanya laksana butir-butir pasir kecil belaka. Apakah ertinya wujud kita dan apa ertinya Adam kita dihadapan Hadrat ini?"

Manusia itu ditimpa kehinaan di manapun mereka berada,

kecuali yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan

sesama manusia.

(Surah Ali Imran ayat 112)

Dengan penuh perasaan kagum, mengeluh dan kepayahan, mereka menunggu. Tiba-tiba keluarlah Hajib, pengawal Istana Kebesaran itu lalu menegur; "Hai orang-orang yang penuh kebingungan. Dari mana asal-usul kamu? Apakah maksud datang ke mari? Siapa nama kamu? Dari siapa kamu mendengar tentang tempat ini, sehingga kamu tertarik untuk hadir ke mari? Siapakah yang menyatakan kepada kamu yang sejemput bulu kecil dan tulang serupa kamu ini sanggup terbang sejauh ini?"

Burung-burung itu berkata; "Kami datang ke mari kerana hendak menjunjung tinggi raja kami SIMURAQ. Lama sudah perjalanan kami ini. Dahulunya kafilah kami ini beribu-ribu banyaknya, tetapi yang sampai hanyalah tiga puluh sahaja dari kami. Kami datang dri tempat yang sangat jauh, dan berhadap agar diberi izin untuk menghadap hadrat kami dan sudi memandang kami".

Hajib berkata; "Hai orang-orang yang bingung! Apakah keadaan kamu? Apakah ertinya Wujud kamu dan apakah erti Adam kamu di hadapan Hadrat Maharaja yang Mutlak dan Baqa? Ribuan alam ini tidaklah setimbal sehelai rambut di hadapan pintu ini. Pulang sahajalah akan kamu, dan kembalilah wahai orang-orang yang sengsara."

Burung-burung terus merayu; "Walau apapun kehinaan yang kami perolehi di muka pintu ini adalah kemuliaan bagi kami. Kami akan tinggal di sini selama-lamanya, sampai kami hangus terbakar, laksana Sang Rama-rama di hadapan api tadi. Kami tidak akan berputus-asa dari Rahmat Maharaja."

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh

kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami

akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan

mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya

(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang

yang sentiasa berusaha membaiki amalannya.

(surah An Ankabut ayat 69)

Mendengarkan pertelingkahan di antara Sang-sang burung tadi dengan Hajib itu, maka tiba-tiba muncullah Hajibur Rahmat. Diperintahkannya mereka berdiri, lalu dibukakannyalah akan kelambu hijab penutup itu, satu demi satu, yang beratus-ratus banyaknya hingga tak terkata. Maka termancarlah sinar dan terbentanglah sifat Tajalli dan dipersilakan sang-sang burung itu duduk dekat Hadrat Rubuiyah.

Setiap seekor burung diberikan sepucuk surat. Bila mana mereka terbaca sahaja segala amal-amal yang telah mereka kerjakan. Maka pengsanlah kesemuanya kerana malu akibat wajah itu tidak tertentang. Maka terhapuslah segala yang tertulis itu dan lupa semuanya, sehingga burung-burung itu tidak ingat apa-apa lagi. Itulah Fana!

Maka memancarlah Matahari Kehampiran. Terbakarlah segala nyawa. Demi kelihatanlah oleh mereka akan SIMURAQ itu, kelihatanlah oleh mereka tiga puluh ekor burung (Simuraq), kelihatan SIMURAQ.

Apabila mereka melihat diri mereka sendiri dan melihat pula kepada SIMURAQ itu, kelihatanlah kedua-duanya satu adanya. Mereka hairan tercengang, lalu mereka bertanya; "Apakah rahsianya jadi begini?" Maka datanglah jawapan; "Hadrat ini adalah kaca. Siapa yang datang ke mari tidak lah melihat selain dirinya sendiri. Tuan datang tiga puluh (Simuraq), tentu yang akan tuan lihat ialah SIMURAQ (tiga puluh). Betapa penglihatan dapat melihat kami" Bagaimana mata langit dapat mengukur bintang Suria?

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk

Allah adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu

itu dalam geluk kaca (pelita), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana

bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak

dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja

disinari matahari semasa naiknya (Timur) dan bukan sahaja semasa turunnya (Barat); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya, memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya

berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah An-Nuur ayat 35)

Perkara ini bukanlah sebagaimana yang kami lihat dan sebagaimana yang kamu ketahui. Bukan jua sebagaimana yang kamu katakan atau yang kamu pernah dengar.

Tetapi kamu telah keluar dari dalam dirimu sendiri. Sekarang tahulah kamu bahawa tempat yang sebenarnya ialah di sini."

Maka hilang lenyaplah mereka semuanya. Hilanglah sinaran segala cahaya kembali ke dalam matahari.

Demi berlalu ratus-ribuan tahun, iaitu kurun-kurun yang tidak diikat oleh perhitungan zaman dan tempat, kembalilah sang-sang burung itu kepada dirinya. Demi setelah mereka kembali kepada dirinya dari selain dirinya, maka kembalilah mereka ke dalam alam baqa sesudah fana.


Wahai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan

dan bawaan baiknya! "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan

keadaan engkau redha dan diredhai (di sisi Tuhanmu)!

(Surah Al-Fajr ayat 27-28)


Semoga cinta dan rindu akan kekal padu bersatu

Di dalam diriku dan juga dirimu

Dalam menuju puncak keharumannya

(Sani Sudin - Joget Selangkah Rindu)

PEMIMPIN RUKUN ISLAM VS PEMIMPIN RUKUN IMAN & ISLAM

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Sebelum memulakan penulisan ini , saya sekadar ingin memberikan peringatan bahawa kedua-dua rukun terpenting Islam ini bukanlah untuk dipermainkan. Malahan amat penting untuk kita mempunyai kedua-dua kepercayaan tersebut untuk mencukupi Tauhid kita kepada Allah. Namun ianya dipisahkan sekadar untuk membuat satu perbandingan, sebagai bahan iktibar.

Semestinya semua telah mengetahui perkara-perkara di dalam rukun Islam, sekadar untuk memperingati ialah ; mengucap dua kalimah Syahadat, berpuasa, sembahyang lima waktu, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji bagi yang berkemampuan. Manakala Rukun Iman ; Percaya kepada Allah, percaya kepada Al Quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada malaikat, percaya kepada qada dan qadar dan percaya kepada hari kiamat.

Cuba kita perhatikan di sini rata-rata semua pemimpin kita tidak kiralah sesiapa sahaja termasuk diri kita juga tidak ketinggalan sebagai seorang pemimpin, kalau tidak masakan kita digelar sebagai khalifah bumi, yang membawa maksud pemimpin di bumi ini. Oleh sebab itulah saya gemar memakai istilah pemimpin kerana ia akan memberikan satu kesedaran bahawa selagi kita bergelar pemimpin maka kita tidak dapat lari dari tanggungjawab orang yang dipimpin. Rata-rata kebanyakkan dari pemimpin yang terpilih untuk memimpin masyarakat yang banyak semua jelas memenuhi kerateria rukun Islam. Tidak kiralah akan nawaitunya. Ramai, terutama pemimpin Islam yang nampaknya sudah mengangkat syahadahnya, berpuasa dan seterusnya. Namun apa yang kurang dipraktiskan di dalam kegiatan harian kebanyakkan mereka adalah tunggak rukun Iman yang menjadi pengisian kepada Rukun Islam tersebut.

Sekiranya seseorang pemimpin itu percaya bahawa sebenarnya Allah itu wujud tentulah mereka akan merasakan bahawa ketinggian pangkat dan jawatan serta kemahsyuran mereka telah mewujudkan mata-mata Allah yang lebih banyak untuk melihat, memerhati dan menilai tingkah laku perbuatan mereka. Sudah pasti mereka akan memperbaiki akhlak baik di hadapan masyarakat mahupun di belakang kerana Allah itu berada di mana-mana. Sekiranya pula mereka percaya sesungguhnya kepada Al Quran, sudah pasti banyak iktibar yang akan mereka ikuti dari sejarah-sejarah yang tercatat di dalamnya terutama bagaimana Allah memusnahkan kaum yang suka berpuak-puak dan tidak bersepakat antara satu sama lain. Sekiranya mereka sungguh-sungguh percaya kepada Rasul maka akhlak para Rasul dan Nabilah yang akan dijadikan role model nombor wahid untuk dicontohi. Sekiranya mereka percaya kepada malaikat sudah tentu tidak akan berlaku kemungkaran terutamanya rasuah di kalangan mereka, kerana pasti malaikat akan mencatatkan segala kemungkaran tersebut, walaupun tidak diketahui oleh BPR. Sekiranya mereka percaya kepada Qada dan Qadar sudah pasti mereka tidak akan menganiayai satu dengan lain semata-mata kerana merebut pangkat dan kuasa, kerana segalanya telah ditakdirkan Akhir sekali sekiranya mereka percaya akan hari kiamat tentulah mereka akan menjauhi untuk mengumpulkan harta kerana kesemuanya akan di telan bumi kelak.

Semoga sidang pembaca akan memahami dan menilai siapakah pemimpin kita yang benar-benar menghayati rukun Islam dan Rukun Iman secara keseluruhannya dan yang pula yang hanya mempraktiskan nilai-nilai rukun Islam sahaja di dalam kepimpinan mereka. Banyak pemimpin tidak kira ditingkat mana sekali pun kita berada samada di rumah, di pejabat mahupun diperingkat negara hanya menekankan nilai rukun Islam sahaja untuk menilai seseorang pemimpin tersebut. Nampak sahaja bersembahyang, berpuasa, dan sebagainya kita terus mengangkat dan menjulang sedangkan perlakuan dan akhlak sebenar mereka di belakang masyarakat tidak pernah kita ambil kira. Kita mengambil contoh-contoh kepimpinan seseorang itu hanya berdasarkan kepada apa yang kita lihat dan bukan apa yang kita terima hasil dari perbuatan mereka. Nilai-nilai keimanan seseorang pemimpin tidak sukar sebenarnya untuk kita ketahui. Kita hanya perlu melihat kejujuran sebenar mereka di dalam melaksanakan bukan sahaja Hablu minallah (ibadah kepada Allah) tetapi juga Hablu minannas (ibadah sesama manusia) juga.

Sekiranya seseorang pemimpin itu mempunyai keikhlasan kepada Allah sudah tentu kita tidak akan mendengar rentetan masyarakat yang menyatakan bahawa tak kala menerima sebarang pertolongan mahupun bantuan dari seseorang pemimpin itu harus ada ganjarannya. Tidak akan wujud juga seseorang pemimpin itu yang hanya mahu membantu dan menolong mereka-mereka yang dapat memberi balasan dan pulangan dari hasil bantuan yang diberikan Dalam ertikata bahasa yang lebih mudah ” nak tolong-tolonglah...jangan buat seribu satu macam alasan hanya kerana tidak boleh mendapat pulangan.....” Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat!!!!

Rukun-rukun iman itu sekiranya mereka hayati sesunguhnya tentulah perkara-perkara seperti kronisme dan nepotisme tidak akan wujud sama sekali. Lihat sahaja akhlak pemimpin Agung kita Rasulullah S.A.W yang senantiasa membantu dan menolong sesiapa sahaja tanpa mengharapkan pulangan. Banyak orang memberikan pelbagai alasan untuk tidak mengikuti jejak Rasulullah dengan alasan ” kita bukan Nabi....masakan kita boleh menjadi semaksum Nabi?’’. Masakan tidak !!! Kalau kita tidak berusaha menjadi semaksum nabi yang mempunyai 4 akhlak asas seperti Siddiq, Amanah, Tabliq dan Fatanah masakan Allah senantiasa menyuruh kita mencontohi Baginda. Terdapat beratus ayat di dalam Al Quran yang merujuk kepada manusia untuk mencontohi Nabi. Kalau benar kita berpegang kepada rukun Iman apakah kita hendak menafikan kepercayaan Allah bahawa setiap manusia mampu dan boleh menjadi semaksum Nabi??? Di mana rukun Iman kita kalau begitu. Nabi Muhamad di jadikan Khalifah bukankah beginda adalah pemimpin? Sekiranya tidak mahu mengikuti akhlak baginda jangan diminta untuk menjadi pemimpin. Jernih air di hulu maka jernih pula air di muara. Kalau pemimpin berakhlak Nabi sudah tentu tidak mungkin masyarakat menjadi porak peranda. Jadi jangan bercita-cita untuk menjadi pemimpin sekiranya tidak mempunyai cita-cita untuk memiliki akhak sebenarnya seorang pemimpin Islam seperti baginda Rasulullah.

Marilah kita mengambil iktibar dari kata-kata seorang penulis Islam iaitu Dr Permadi Alibasyah di dalam tulisannya tentang Aklak Rasulullah. Kata beliau;

Kata Rasullullah ; Bila engkau melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tanganmu. Bila engkau tidak sanggup, maka ubahlah dengan perkataanmu. Bila engkau tidak sanggup juga, maka ubahlah dengan hatimu, itulah serendah-rendahnya iman”; Adapun hadiths Rasulullah di awal perbahasan ini sebenarnya menyifatkan bahawa kita haruslah realistik di dalam bertindak. Tidaklah bijaksana bila kita berkeinginan atau bertindak yang melebihi kemampuan. Allah sendiri menegaskan bahawa Dia tidak membebani kita dengan sesuatu yang diluar kemampuan kita. Fakta juga juga menunjukkan, tidak bahagia itu seringkali terjadi kerana kita mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan

Hayatilah kata-kata beliau ternyata sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menjadi pemimpin maka harus terlebih dahulu mencerminkan diri mereka terlebih dahulu apakah aku sekadar cukup untuk memimpin hanya dengan bersandarkan rukun Islam semata sesuatu yang nyata dan boleh diperlihat dan dipertontonkan oleh manusia ataupun harus aku bawa sekali Rukun Iman yang kental yang ternyata ghaib dan hanya dapat dinilai dan disaksikan oleh Allah??Maka itu sekiranya belum, sedang dan akan menjadi pemimpin harus berwaspada dan ingat bahawa kita bukan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab hanya kepada masyarakat tetapi juga perkuatkanlah juga keimanan kita untuk tidak dipersoalkan kelak takala mengadap Allah S.W.T Oleh itu jangan hanya membawa satu rukun yang hanya dapat dipertontonkan oleh manusia tetapi juga bawalah sekali rukun yang senantiasa dipertontonkan Allah. Jadilah pemimpin pemimpin yang mendukung rukun Iman dan Islam. Marilah kita sama-sama bermuhasabah.

Wassalam.

Masalah bahasa Melayu tanggungjawab masyarakat

Saya terpanggil untuk memanjangkan perdebatan antara Ahli Parlimen Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh (BN-Gerik) dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung masalah penciptaan istilah bahasa Melayu, baru-baru ini.

Soal yang mula-mula dibangkitkan Dr. Wan Hashim ialah Jawatankuasa Istilah DBP gagal mencipta istilah baru untuk perkamusan, sebaliknya meminjam perkataan Inggeris. Perdebatan ini kemudiannya menyentuh kelemahan badan bahasa itu memperkasa bahasa Melayu serta lain-lain masalah berkaitan.

Menurut Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, kamus merakam semua istilah yang berada dalam masyarakat. Secara langsung, masyarakat menyumbang istilah dalam perkamusan, sekali gus mengheret kita untuk turut bertanggungjawab dalam masalah ini.

Untuk itu, mari perhatikan beberapa ragam penggunaan bahasa di kalangan masyarakat kita.

Pertama, dalam banyak-banyak istilah bahasa Melayu untuk kata ganti diri seperti saya, aku, kau, kamu, awak dan anda, ada di kalangan kita yang gemar menggunakan istilah Inggeris seperti ‘I’ dan ‘you’.

Ini ragam yang pincang sebab kita sudah ada banyak istilah Melayu. Malah kita juga kaya dengan loghat negeri seperti ese (bermaksud saya di Negeri Sembilan), mung (kau di Terengganu), kome (kamu semua di Perak – tidak perlulah guna ‘you all’) dan sebagainya.

Kita juga sudah begitu lazim menuturkan istilah ‘accident’ berbanding kemalangan, bahkan ada yang menulisnya ‘eksiden’.

Kedua, kita dapati kalangan elit Melayu (termasuk penduduk bandar) kita cukup gemar berbahasa Inggeris walaupun bercakap-cakap sesama sendiri. Lebih teruk, ragam seperti ini dirakam dan disebarkan oleh media (melalui tayangan drama misalnya) sehingga masyarakat mempelajarinya.

Jadi tidak hairanlah kalau anak-anak Malaysia membesar dengan pembelajaran tutur seperti tayangan tersebut.

Ketiga, kalau dilihat dalam penulisan, lebih-lebih lagi golongan pelajar yang mahu tulisan mereka nampak lebih berkualiti dan ‘mengagumkan’, istilah-istilah seperti konklusi (rumusan), produktiviti (pengeluaran), kontradiksi (percanggahan) dan lain-lain istilah pinjaman sepertinya lebih gemar digunakan.

Keempat, di universiti, bahasa perpaduan kaum yang dilihat lebih meyakinkan ialah bahasa Inggeris. Berdasarkan pengalaman peribadi, lebih mudah untuk mendekati pelajar bukan Melayu jika kita bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.


Kelima, dalam banyak-banyak penduduk Malaysia, siapakah di antara kita yang bertutur menggunakan istilah mi segera berbanding Maggi, penggalak nitrogen berbanding NOS, bekas plastik berbanding Tupperware dan lain-lain barangan yang dituturkan jenamanya?

Bahkan, mungkin ada juga yang tidak tahu bahawa Clorox itu jenama, yang sepatutnya disebut peluntur (bleach dalam bahasa Inggeris)!

Dengan himpunan ragam penggunaan bahasa seperti di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa masalah bahasa Melayu seyogianya menjadi tanggungjawab semua, bukan DBP sahaja – sebab kita sama-sama mencipta masalah itu.

Antara yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan ragam di atas ialah mengisi tempoh 10 hingga 12 tahun persekolahan (rendah dan menengah), iaitu pada umur pelajar 7 hingga 18 tahun dengan menyemai rasa kagum terhadap bahasa kebangsaan – selain belajar menguasai pertuturan bahasa Melayu yang betul.

Mungkin sudah terlambat untuk memperbetulkan golongan masyarakat yang sudah berpuluh tahun melalui pengalaman berbahasa seperti di atas.

Materialistik

"Buat apa mobilnya (kereta) banyak-banyak. Saya gak bisa memandunya sekali gus," kata Pak Ary.

"Kereta itu besi. Apa yang dibanggakan dengan besi?" pesan Tok Ayah Copenhagen.

Gua rasa, Benz kalau dicabut lambangnya di hood depan itu, ganti dengan lambang Proton, macho tak? Ataupun, kamu bangga ada BMW. Cabut tayar sebelah. Bawa tayar jalan-jalan. Tayar BMW.

Tunjuk Makcik Senah sebelah rumah. Bawa sekali sambil bersembang-sembang dengan orang sebelah kamu dalam LRT. Ceritakan betapa mewahnya kamu ada tayar BMW.

Demikianlah hujah bela diri gua kalau mahu berdampingan dengan betina seksi dan materialistik.

Gua cuma mampu bersama Herbie hitam yang kadang-kadang tertunggak bayarannya.