Tuesday, March 18, 2008

PEMIMPIN RUKUN ISLAM VS PEMIMPIN RUKUN IMAN & ISLAM

BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM

SELAWAT DAN SALAM BUAT BAGINDA NABI MUHAMAD S.A.W

Sebelum memulakan penulisan ini , saya sekadar ingin memberikan peringatan bahawa kedua-dua rukun terpenting Islam ini bukanlah untuk dipermainkan. Malahan amat penting untuk kita mempunyai kedua-dua kepercayaan tersebut untuk mencukupi Tauhid kita kepada Allah. Namun ianya dipisahkan sekadar untuk membuat satu perbandingan, sebagai bahan iktibar.

Semestinya semua telah mengetahui perkara-perkara di dalam rukun Islam, sekadar untuk memperingati ialah ; mengucap dua kalimah Syahadat, berpuasa, sembahyang lima waktu, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji bagi yang berkemampuan. Manakala Rukun Iman ; Percaya kepada Allah, percaya kepada Al Quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada malaikat, percaya kepada qada dan qadar dan percaya kepada hari kiamat.

Cuba kita perhatikan di sini rata-rata semua pemimpin kita tidak kiralah sesiapa sahaja termasuk diri kita juga tidak ketinggalan sebagai seorang pemimpin, kalau tidak masakan kita digelar sebagai khalifah bumi, yang membawa maksud pemimpin di bumi ini. Oleh sebab itulah saya gemar memakai istilah pemimpin kerana ia akan memberikan satu kesedaran bahawa selagi kita bergelar pemimpin maka kita tidak dapat lari dari tanggungjawab orang yang dipimpin. Rata-rata kebanyakkan dari pemimpin yang terpilih untuk memimpin masyarakat yang banyak semua jelas memenuhi kerateria rukun Islam. Tidak kiralah akan nawaitunya. Ramai, terutama pemimpin Islam yang nampaknya sudah mengangkat syahadahnya, berpuasa dan seterusnya. Namun apa yang kurang dipraktiskan di dalam kegiatan harian kebanyakkan mereka adalah tunggak rukun Iman yang menjadi pengisian kepada Rukun Islam tersebut.

Sekiranya seseorang pemimpin itu percaya bahawa sebenarnya Allah itu wujud tentulah mereka akan merasakan bahawa ketinggian pangkat dan jawatan serta kemahsyuran mereka telah mewujudkan mata-mata Allah yang lebih banyak untuk melihat, memerhati dan menilai tingkah laku perbuatan mereka. Sudah pasti mereka akan memperbaiki akhlak baik di hadapan masyarakat mahupun di belakang kerana Allah itu berada di mana-mana. Sekiranya pula mereka percaya sesungguhnya kepada Al Quran, sudah pasti banyak iktibar yang akan mereka ikuti dari sejarah-sejarah yang tercatat di dalamnya terutama bagaimana Allah memusnahkan kaum yang suka berpuak-puak dan tidak bersepakat antara satu sama lain. Sekiranya mereka sungguh-sungguh percaya kepada Rasul maka akhlak para Rasul dan Nabilah yang akan dijadikan role model nombor wahid untuk dicontohi. Sekiranya mereka percaya kepada malaikat sudah tentu tidak akan berlaku kemungkaran terutamanya rasuah di kalangan mereka, kerana pasti malaikat akan mencatatkan segala kemungkaran tersebut, walaupun tidak diketahui oleh BPR. Sekiranya mereka percaya kepada Qada dan Qadar sudah pasti mereka tidak akan menganiayai satu dengan lain semata-mata kerana merebut pangkat dan kuasa, kerana segalanya telah ditakdirkan Akhir sekali sekiranya mereka percaya akan hari kiamat tentulah mereka akan menjauhi untuk mengumpulkan harta kerana kesemuanya akan di telan bumi kelak.

Semoga sidang pembaca akan memahami dan menilai siapakah pemimpin kita yang benar-benar menghayati rukun Islam dan Rukun Iman secara keseluruhannya dan yang pula yang hanya mempraktiskan nilai-nilai rukun Islam sahaja di dalam kepimpinan mereka. Banyak pemimpin tidak kira ditingkat mana sekali pun kita berada samada di rumah, di pejabat mahupun diperingkat negara hanya menekankan nilai rukun Islam sahaja untuk menilai seseorang pemimpin tersebut. Nampak sahaja bersembahyang, berpuasa, dan sebagainya kita terus mengangkat dan menjulang sedangkan perlakuan dan akhlak sebenar mereka di belakang masyarakat tidak pernah kita ambil kira. Kita mengambil contoh-contoh kepimpinan seseorang itu hanya berdasarkan kepada apa yang kita lihat dan bukan apa yang kita terima hasil dari perbuatan mereka. Nilai-nilai keimanan seseorang pemimpin tidak sukar sebenarnya untuk kita ketahui. Kita hanya perlu melihat kejujuran sebenar mereka di dalam melaksanakan bukan sahaja Hablu minallah (ibadah kepada Allah) tetapi juga Hablu minannas (ibadah sesama manusia) juga.

Sekiranya seseorang pemimpin itu mempunyai keikhlasan kepada Allah sudah tentu kita tidak akan mendengar rentetan masyarakat yang menyatakan bahawa tak kala menerima sebarang pertolongan mahupun bantuan dari seseorang pemimpin itu harus ada ganjarannya. Tidak akan wujud juga seseorang pemimpin itu yang hanya mahu membantu dan menolong mereka-mereka yang dapat memberi balasan dan pulangan dari hasil bantuan yang diberikan Dalam ertikata bahasa yang lebih mudah ” nak tolong-tolonglah...jangan buat seribu satu macam alasan hanya kerana tidak boleh mendapat pulangan.....” Anak Cina makan pengat sendirilah mahu ingat!!!!

Rukun-rukun iman itu sekiranya mereka hayati sesunguhnya tentulah perkara-perkara seperti kronisme dan nepotisme tidak akan wujud sama sekali. Lihat sahaja akhlak pemimpin Agung kita Rasulullah S.A.W yang senantiasa membantu dan menolong sesiapa sahaja tanpa mengharapkan pulangan. Banyak orang memberikan pelbagai alasan untuk tidak mengikuti jejak Rasulullah dengan alasan ” kita bukan Nabi....masakan kita boleh menjadi semaksum Nabi?’’. Masakan tidak !!! Kalau kita tidak berusaha menjadi semaksum nabi yang mempunyai 4 akhlak asas seperti Siddiq, Amanah, Tabliq dan Fatanah masakan Allah senantiasa menyuruh kita mencontohi Baginda. Terdapat beratus ayat di dalam Al Quran yang merujuk kepada manusia untuk mencontohi Nabi. Kalau benar kita berpegang kepada rukun Iman apakah kita hendak menafikan kepercayaan Allah bahawa setiap manusia mampu dan boleh menjadi semaksum Nabi??? Di mana rukun Iman kita kalau begitu. Nabi Muhamad di jadikan Khalifah bukankah beginda adalah pemimpin? Sekiranya tidak mahu mengikuti akhlak baginda jangan diminta untuk menjadi pemimpin. Jernih air di hulu maka jernih pula air di muara. Kalau pemimpin berakhlak Nabi sudah tentu tidak mungkin masyarakat menjadi porak peranda. Jadi jangan bercita-cita untuk menjadi pemimpin sekiranya tidak mempunyai cita-cita untuk memiliki akhak sebenarnya seorang pemimpin Islam seperti baginda Rasulullah.

Marilah kita mengambil iktibar dari kata-kata seorang penulis Islam iaitu Dr Permadi Alibasyah di dalam tulisannya tentang Aklak Rasulullah. Kata beliau;

Kata Rasullullah ; Bila engkau melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tanganmu. Bila engkau tidak sanggup, maka ubahlah dengan perkataanmu. Bila engkau tidak sanggup juga, maka ubahlah dengan hatimu, itulah serendah-rendahnya iman”; Adapun hadiths Rasulullah di awal perbahasan ini sebenarnya menyifatkan bahawa kita haruslah realistik di dalam bertindak. Tidaklah bijaksana bila kita berkeinginan atau bertindak yang melebihi kemampuan. Allah sendiri menegaskan bahawa Dia tidak membebani kita dengan sesuatu yang diluar kemampuan kita. Fakta juga juga menunjukkan, tidak bahagia itu seringkali terjadi kerana kita mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan

Hayatilah kata-kata beliau ternyata sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk menjadi pemimpin maka harus terlebih dahulu mencerminkan diri mereka terlebih dahulu apakah aku sekadar cukup untuk memimpin hanya dengan bersandarkan rukun Islam semata sesuatu yang nyata dan boleh diperlihat dan dipertontonkan oleh manusia ataupun harus aku bawa sekali Rukun Iman yang kental yang ternyata ghaib dan hanya dapat dinilai dan disaksikan oleh Allah??Maka itu sekiranya belum, sedang dan akan menjadi pemimpin harus berwaspada dan ingat bahawa kita bukan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab hanya kepada masyarakat tetapi juga perkuatkanlah juga keimanan kita untuk tidak dipersoalkan kelak takala mengadap Allah S.W.T Oleh itu jangan hanya membawa satu rukun yang hanya dapat dipertontonkan oleh manusia tetapi juga bawalah sekali rukun yang senantiasa dipertontonkan Allah. Jadilah pemimpin pemimpin yang mendukung rukun Iman dan Islam. Marilah kita sama-sama bermuhasabah.

Wassalam.

No comments: